Sabtu, 6 September 2008

SOLAT SUNAT TERAWIKH

. Sabtu, 6 September 2008
0 ulasan

SOLAT_SUNAT_TERAWIH.pdf - Hosted on SaveFile.com

Read More »»

Khamis, 4 September 2008

. Khamis, 4 September 2008
0 ulasan







Read More »»

Jumaat, 29 Ogos 2008

KELEBIHAN RAMADHAN

. Jumaat, 29 Ogos 2008
0 ulasan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Read More »»
.
0 ulasan

Photobucket

Read More »»

Jumaat, 8 Ogos 2008

DOA

. Jumaat, 8 Ogos 2008
0 ulasan


DALAM surah al-Mukmin (atau Ghafir) ayat 60 Allah berfirman, “Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu.”

Di samping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah. Demikian yang disabdakan Nabi SAW mengikut riwayat Imam Tirmizi. Doa yang rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.
Perkara ini dinukilkan dalam kitab al-Azkar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Mintalah kepada Allah kurniaannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan (dari hambanya).”

Adab-Adab Berdoa
Doa yang diterima oleh Allah ialah doa yang datang dari hati yang khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa itu diberkati dan dimakbulkan Allah .

Antara adab-adab itu ialah:

1. Memilih waktu yang mulia. Antara waktu-waktu istimewa yang baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis Nabi SAW, ialah di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.

2. Merendahkan diri kepada Allah dan khusyuk. Dalam surah Al-A’raf ayat 55 Allah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan takut.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.”

3. Bertaubat daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka yang telah dizalimi. Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng yang menghalang penerimaan doa oleh Allah . Hal ini disebutkan dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi. Allah berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 8, “Wahai mereka yang beriman bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (iaitu taubat yang sebenarnya).”

4. Meyakini bahawa doa itu akan diterima. Maksudnya, hendaklah kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan kamu meyakini bahawa ia akan diterima.”

5. Tidak tergesa-gesa. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Doa seseorang kamu akan diperkenankan selagi mana dia tidak bersikap tergesa-gesa dengan berkata, ‘Aku telah pun berdoa tetapi nampaknya tidak diperkenankan’ .” Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah diri kepada Allah kerana Allah saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah , atau dipalingkan Allah satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan.”

6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Demikian juga adabnya ketika mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW.

7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan kesungguhan. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah amat gemar mengulang-ulangi doa dan istighfar tiga-tiga kali.”

Punca Doa Tertolak

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah itu suci bersih dan Allah tidak menerima kecuali yang suci bersih jua”. Dan sesungguhnya Allah mengarah orang-orang mukmin dengan sesuatu yang perlu juga dilakukan oleh rasul-rasul. Allah berfirman, ‘Wahai rasul-rasul makanlah yang halal dan lakukanlah amalan yang salih.’

Allah juga berfirman, ‘Wahai mereka yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang dikurniakan kepadamu.’ Terdapat seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga menjadi kusut rambutnya dan berdebu mukanya. Lelaki ini menadahkan tangannya untuk bermohon kepada Allah dengan berkata ‘Ya Rab, ya Rab’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan doanya? Hadis ini menunjukkan sumber rezeki yang haram menjadi sebab musabab sesuatu doa ditolak oleh Allah .

Ibrahim ibn Adham pernah pada suatu ketika berada di kota Basrah. Beliau ditanya tentang punca sesuatu doa tidak dimakbulkan oleh Allah . Beliau berkata,“Pertama, kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan haknya. Kedua, kamu mengatakan bahawa kamu mencintai rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunahnya. Ketiga, kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya. Keempat, kamu menerima nikmat Allah tetapi kamu tidak menunaikan syukurnya. Kelima, kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya. Keenam, kamu berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya. Ketujuh, kamu berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak melarikan diri daripadanya. Kelapan, kamu berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. Kesembilan, kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan tentang keaiban orang lain dan kamu melupakan keaiban dirimu sendiri. Kesepuluh, kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil pengajaran darinya.”

Read More »»

25 PESANAN LUQMAN HAKIM

.
0 ulasan

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah .
02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah . Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.
03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah , maka dia tawadduk kepada Allah , dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah .
04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
06 - Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah . Takutlah kepada Allah dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah .
07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.
17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.
23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu.Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Read More »»
.
0 ulasan




Read More »»